Oleh Fazli Ahmad
KUANTAN: Jabatan Imigresen Pahang menahan 50 warga asing termasuk tiga kanak-kanak dalam serbuan di empat tapak pembinaan di sekitar daerah ini, awal pagi tadi.
Pengarahnya, Nursafariza Ihsan, berkata semua mereka ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan permit kerja tamat tempoh.
Menurutnya, warga asing terbabit ditahan menerusi operasi selama lebih enam jam bermula jam 12 tengah malam tadi dan disertai 38 pegawai imigresen.
Katanya, lokasi serbuan membabitkan rumah kongsi di tapak pembinaan perumahan di Pancing dan Indera Mahkota.
“Sepanjang operasi ini lebih 100 warga asing diperiksa dan hasilnya 42 lelaki, lima wanita dan tiga anak mereka membabitkan warga Indonesia dan Bangladesh ditahan atas pelbagai kesalahan,”
“Majikan mereka juga akan dipanggil untuk siasatan lanjut kerana didapati tidak cakna mengaji atau melindungi warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,”
“Majikan mereka sepatutnya tahu status setiap pekerja mereka.” katanya.
Ketika serbuan dilakukan, sebahagian besar warga asing terbabit sedang tidur dan ada cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Nursafariza berkata, semua warga asing ditahan dibawa ke Jabatan Imigresen Pahang untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan di Kemayan, Bera.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, 2,543 buruh asing ditahan di seluruh Pahang atas pelbagai kesalahan.
Katanya, 10,449 orang lagi menyerah diri menerusi Program Repatriasi Migran 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.