comscore
Tumpuan :
Nasional

Tanpa baba, Ramadan tak meriah

Musthafa Kamal dilaporkan hilang di Makkah hampir sebulan lalu. – FOTO: Ihsan Muhammad Nabil

KUALA LUMPUR: “Kemeriahan Ramadan kali ini tidak dirasai tanpa baba (ayah) bersama kami kerana dia seorang yang sangat meraikan bulan mulia ini”.

Itu luahan Muhammad Nabil Musthafa Kamal, 26  anak kepada guru agama, Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di Makkah ketika menunaikan umrah pada Disember tahun lalu.

Ini tahun pertama mereka sekeluarga menyambut Ramadan tanpa bapa tersayang yang sehingga kini masih belum diketahui keadaannya, namun berharap Musthafa Kamal sentiasa dalam lindungan Allah SWT.

“Sejujurnya kami memang sedih dan hiba kerana setiap kali Ramadan baba akan meraikan dengan semangat termasuk membersihkan dan mengecat rumah. Malah, ketika rumah kami terjejas banjir baru-baru ini juga mengingatkan kami kepadanya.

“Tipulah kalau kami tak fikir bagaimana keadaan baba di sana dan apa yang dia makan ketika berbuka tetapi kami terus kekal positif dan harap baba sentiasa selamat serta dilindungi.

“Kami menganggap masih belum sampai rezeki untuk baba kembali ke pangkuan keluarga dan Insya-Allah ada rezeki selepas ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berkongsi perkembangan kehilangan bapanya, Muhammad Nabil berkata, setakat ini tiada yang terbaharu mengenai perkara itu, namun mengakui mereka sekeluarga tetap berharap Musthafa Kamal akan pulang ke pangkuan keluarga tidak lama lagi.

Katanya, sebelum itu pada Februari lalu, seorang wanita Malaysia yang menetap di Ma’ala, terletak kira-kira 500 hingga 600 meter dari Masjidil Haram memaklumkan seorang peniaga Arab memberitahu pernah melihat bapa di kawasan kedainya.

“Saya kenal wanita berkenaan ketika menunaikan umrah sambil melakukan usaha pencarian baba. Dia membantu kami menyebarkan risalah gambar baba sebelum dua minggu selepas pulang ke tanah air, dia memberitahu perkembangan itu.

“Bagaimanapun apabila ditanya semula di kawasan itu baba sudah tidak ditemui, namun harapan kami tetap sama dan terus berdoa baba akan pulang.

“Mungkin ini ujian buat keluarga kami dan dalam masa sama hadiah buat baba kerana menyambut Ramadan di sana.
Ibu, Zurina Muhammad, 49, juga semakin kuat dan terus positif,” katanya.

Pada 6 Disember lalu, Musthafa Kamal berangkat menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 18 Disember 2022.

Bagaimanapun, guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di sekolah rendah di Batu Pahat, Johor itu dilaporkan hilang pada 12 Disember lalu selepas Muaz menyedari bapanya tiada di bilik hotel. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini