Oleh: Baharuddin Mohamed
MELAKA: Sambutan Tahun Baharu Cina di kawasan pelancongan terkemuka, Jonker Walk di sini tahun ini meriah apabila diserikan dengan Tanglung Peranakan gergasi yang dianggap terbesar di dunia.
Tanglung peranakan itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Gan Tian Loo berkata, tanglung gergasi bersaiz 5 meter tinggi dan 2.4 meter ukur lilit itu dijangka mampu menarik kunjungan sejuta pelancong ke Jonker Walk dalam tempoh 15 hari selepas sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata, sepasang Tanglung Peranakan bernilai RM100,000 mengambil masa hampir tiga bulan untuk disiapkan dan akan terus dipamerkan di hadapan bangunan pejabat Jonker Walk sehingga tahun hadapan.
“Sebagai antara destinasi pelancongan terkenal di Melaka, kita memasang lebih 800 tanglung merah tradisi masyarakat Cina termasuk mencipta sepasang Tanglung Peranakan terbesar di Malaysia bahkan di dunia.
“Ia juga telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records yang dirasmikan Menteri Pelancongan minggu lalu.
“Seperti diketahui, kaum Baba Nyonya adalah etnik penting di Melaka dan melalui promosi Tanglung Peranakan ini, perayaan Tahun Baharu CIna tahun ini menjadi lebih bermakna untuk menarik satu juga pengunjung selama 15 hari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Ambang Tahun Baharu Cina di Jonker Walk, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Tian Loo berkata, lebih 300 peniaga dan penjaja di pasar malam pelancongan Jonker Walk yang sudah memasuki tahun ke 33 penganjuran bersedia menyambut satu juta pelancong yang disasarkan selama tempoh 15 hari itu.
“Dalam tempoh 15 hari bermula esok (hari ini) sehingga perayaan Chap Goh Mei kita akan menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan untuk mencapai sasaran satu juta pengunjung,” katanya.