Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
SEPANG: Kebocoran satu injap pada sebuah tangki skid terbiar selama sembilan tahun menjadi punca kepada insiden kebocoran gas di sekitar Terminal Kargo KLIA, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Azman Shari’at berkata, gas yang dikenal pasti sebagai Methyl Mercaptan dan merebak sehingga dua kilometer dari lokasi kejadian itu tidak membahayakan serta dijamin selamat untuk penduduk sekitar.
“Pihak bomba dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah menjalankan pemeriksaan dan bersama pihak Gas Malaysia mengesan kebocoran sejenis gas dikenali sebagai Methyl Mercaptan atau gas yang dicampur dengan gas memasak supaya menimbulkan bau dan mudah dikesan orang awam.
“Pihak Hazmat telah membuat pemeriksaan di bangunan MAB engineering dan MAB Academy dan disahkan kandungan gas tersebut telah tiada dan selamat digunakan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Tambahnya, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11.23 pagi tadi, lebih 1,000 kakitangan diarahkan mengosongkan kawasan Terminal Kargo KLIA.
Selain itu, 39 mangsa mengalami pening dan mual dengan 24 mangsa mendapat rawatan luar dan dibenarkan pulang, 14 orang dibawa ke Unit Rawatan Udara (ADU) KLIA manakala seorang dihantar ke Hospital Putrajaya.
Kebocoran satu injap pada sebuah tangki skid terbiar selama sembilan tahun menjadi punca kepada insiden kebocoran gas di sekitar Terminal Kargo KLIA, pagi tadi. pic.twitter.com/H4BlfAnIo9
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 4, 2024
Jelasnya, seramai 87 anggota polis, bomba, Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), Aviation Security (AVSEC), Kementerian Kesihatan serta Jabatan Alam Sekitar terlibat dalam operasi itu.
“Saya harapkan penduduk dan pengguna awam yang nak berurusan di KLIA dan penduduk sekitar tidak perlu gusar dan risa. Ia bukan gas sangat membahayakan dan (cuma) beri kesan kepada orang yang kurang ketahanan dan telah diperiksa oleh hazmat dan bomba telah tiada (gas),” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bacaan gas di lokasi bocor adalah kira-kira 600 bahagian per juta (ppm).
Bagaimanapun, hasil bacaan di luar kawasan insiden adalah sekitar 150 ppm dan tidak mendatangkan ketidakselesaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa