comscore
Tumpuan :
Nasional

Tangki kereta diubah suai untuk isi 200 liter bahan api

Antara kenderaan dikesan yang telah mengubah tangki di bahagian tempat duduk penumpang belakang untuk digunakan dalam kegiatan penyeludupan bahan api. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Sebanyak 90 peratus daripada 550 kenderaan yang disita dalam tempoh tiga tahun lepas, telah diubah suai tangki untuk digunakan dalam kegiatan penyeludupan bahan api seperti petrol dan diesel.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, kenderaan diubah suai adalah keluaran tempatan daripada model Sedan atau hatchback seperti Proton Wira dan Proton Waja, yang sudah uzur dan tidak mempunyai cukai jalan.

Beliau berkata, kereta berkenaan diubah suai sehingga mampu mengisi hampir 200 liter bahan api untuk sekali pengisian.

“Sebenarnya taktik penyeludup ini ada pelbagai cara termasuk membuat pengisian menggunakan tong namun taktik itu mudah dihidu pihak berkuasa berbanding menggunakan tangki ubah suai.

“Bagi yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda taktik ini agak sukar dikesan kerana tangkinya sudah besar kecuali mereka didapati membuat pembelian berulang di stesen-stesen,” katanya.

Menurut Azman, pihaknya juga telah mengesan wujudnya bengkel yang membuat ubah suai tangki berkenaan termasuk di Pengkalan Tumpat dan Rantau Panjang.

Katanya, perbincangan akan diadakan dengan agensi berkaitan terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mencari jalan terbaik berkaitan kenderaan ubah suai tangki itu.

Sementara itu, Azman berkata sebanyak 29,932 liter petrol RON95 dan 68,858 liter diesel telah disita sejak Januari hingga semalam. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini