
PELABUHAN KLANG: Tindakan sekumpulan nelayan menangkap ikan di zon larangan membawa padah apabila bot mereka ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di perairan Selangor, di sini semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot itu ditahan oleh KM DANGA ketika melakukan rondaan rutin OP EHSAN, OP MURNI dan OP TIRIS 3.0 di 13.2 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh enam kru termasuk tekong warga Myanmar berusia antara 26 hingga 45 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Siasatan mendapati, mereka yang menaiki bot nelayan tempatan kelas C itu sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan ketika itu.
“Bot bersama kru dibawa ke jeti Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing dan menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.
“Aktiviti perikanan kurang 15 batu nautika dari pantai oleh bot kelas C boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta menganggu mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan terbabit,” katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen.
“Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk maklum balas segera,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.