comscore
Tumpuan :
Nasional

Tangguh pelantikan Pengerusi Felcra, untuk diselaraskan dengan lantikan lain – TPM

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Penangguhan pelantikan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra adalah untuk membolehkan penyelarasan lantikan di semua badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi lain, dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penyelarasan lantikan terbabit akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“(Penangguhan) itu dibuat berdasarkan penyelarasan kepada semua badan berkanun, GLC dan syarikat lain di bawah kementerian serta agensi untuk disamaratakan pada tarikh yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri sendiri.

“Maka penyelarasan dibuat untuk semua jawatan, bukan hanya satu jawatan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis makan tengah hari sempena penubuhan Kerajaan Perpaduan di Jalan Bukit Kemuning, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, lantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, sebagai Pengerusi Felcra yang diumumkan oleh Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Disember lalu, ditangguhkan.

Anwar berkata, pelantikan semula itu sememangnya sudah dimaklumkan oleh Ahmad Zahid, namun wujud kekeliruan berhubung lantikan politik dalam badan berkanun serta GLC.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak pernah menyatakan tidak boleh ada lantikan politik, namun lantikan itu terikat dengan syarat dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan.

Anwar berkata, ada kemungkinan untuk beberapa tokoh atau Ahli Parlimen yang ditugaskan kepada badan berkanun atau GLC, namun Kerajaan juga menetapkan kaedah berkaitan tahap keupayaan serta profesional, prestasi sebelumnya, pematuhan kepada peraturan, dan tata kelola yang ditetapkan.

BH sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid sebagai berkata, pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra itu selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Beliau juga dilaporkan berkata, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam GLC ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.

Loading...
Terkini