KUALA SELANGOR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenalkan sistem tiga segi sama untuk tanaman kelapa sawit supaya pokok kelapa sawit ditanam mengikut kesesuaian jenis dan kepadatan tanah.
Setiap tanaman pokok kelapa sawit akan menerima sinaran cahaya matahari lebih sekata apabila barisan tanaman tersebut mengarah utara-selatan.
Justeru itu, sistem ini memberi kelebihan kerana mendapat kepadatan pokok kelapa sawit yang optimum tanpa pembaziran tanah.
Bekas penulis, Jahara Alias, 60, yang mengusahakan ladang kelapa sawit selama enam tahun mengambil insentif membuka semula tanah milik keluarganya dengan bantuan MPOB di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).
Sebanyak 1.15 hektar tanah miliknya dibersihkan dengan bantuan yang diperolehi dan beliau akan memastikan untuk melakukan kajian serta bacaan tentang penanaman pokok kelapa sawit.
Dengan keluasan tanahnya, sebanyak 180 pokok kelapa sawit ditanam sebagai permulaan dengan menggunakan teknik tiga segi yang disyorkan oleh MPOB.
Bagi Jahara, interaksi dengan pokok kelapa sawit amatlah penting dan ia merupakan satu terapi baginya.
Beliau berkata, “Saya akan beri kata salam seperti Assalamualaikum, bertanya khabar dan berinteraksi dengan pokok sawit untuk memastikan ia dalam keadaan baik.”
“Saya percaya itu memberi hasil yang banyak dan ia merupakan satu terapi yang baik bagi saya,” katanya.
Bagaimanapun, Jahara menaruh harapan yang tinggi supaya industri ini perlu diterapkan dalam kehidupan generasi muda.
Bahkan, generasi muda perlu diberi ilmu tentang industri sawit ini agar lebih serasi dengan persekitaran ladang kelapa sawit.
Semangat yang dimilikinya perlu dijadikan inspirasi kepada generasi muda kini dalam mengecapi kejayaan. – HARIAN METRO