Tumpuan :
Nasional

‘Tanam bawang merah sejak 2021, edar benih kepada agensi, usahawan terpilih’ – MARDI

Benih bawang berkualiti dihasilkan MARDI diedarkan kepada agensi pengembangan dan usahawan terpilih. -Foto: NSTP

KOTA BHARU: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Bachok memulakan penanaman bawang merah sejak 2021 bagi pengeluaran benih untuk diedarkan kepada agensi pengembangan dan usahawan benih terpilih.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, MARDI menjalankan beberapa kajian berkaitan bawang merah sejak 1970-an, namun terpaksa dihentikan ketika itu disebabkan kos pengeluaran dalam negara lebih tinggi berbanding kos import.

“Namun, penanaman bawang merah ini dimulakan kembali pada 2021 dalam kajian pengadaptasian varieti pengeluaran bawang merah, pengawalan perosak dan penyakit, pengurusan lepas tuai, sistem mekanisasi ladang serta kajian risikan pasaran yang dimuatkan Manual Teknologi Pengeluaran Bawang Merah Tanah Rendah.

“MARDI adalah agensi yang diberi mandat sebagai pengeluar benih bawang merah, manakala Jabatan Pertanian (DOA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pula untuk pengkomersialan benih itu dalam negara kepada pihak yang berminat mendapatkannya,” katanya kepada BH, hari ini.

Media pada 3 April lalu melaporkan, Perak menjadi negeri pertama di Malaysia berjaya menuai hasil bawang tempatan jenis BW1 membabitkan berat sekitar 2.3 tan di Kampung Ladang Bikam di Tanjung Malim.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek kerjasama dengan DOA negeri itu sebelum ini dilaksanakan secara tiga fasa di kawasan seluas satu hektar, menyasarkan pengeluaran hasil kira-kira empat tan setiap hektar.

 

Ketua Stesen MARDI Bachok, Emy Sabrina Mohd Noor menuai hasil bawang merah yang ditanam oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Bachok bermula sejak 2021 di atas tanah seluas 1.5 hektar.-Foto: NSTP

Katanya, projek rintis itu mampu menjadi pencetus kepada pengeluaran bawang dalam negara, sekali gus memenuhi keperluan rakyat Malaysia dan mengurangkan kebergantungan terhadap bawang import.

Difahamkan, projek tanaman bawang di Perak ini turut menggunakan benih yang dihasilkan MARDI.

Mohamad Zabawi berkata, tanah mineral, bris, gambut dan lombong sesuai ditanam bawang merah.

Beliau berkata, sehingga tahun depan, pengeluaran benih bawang merah di atas tanah seluas 1.5 hektar dilaksanakan di MARDI Serdang, MARDI Bachok dan MARDI Cameron Highlands serta oleh beberapa usahawan benih MARDI.

Katanya, pemindahan teknologi tanaman bawang kepada pihak yang berminat boleh dilakukan melalui khidmat nasihat dan kursus yang dianjurkan berdasarkan permintaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini