Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin
BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa dalam kejadian tanah runtuh awal pagi Jumaat lalu diteruskan buat hari kelima dengan pihak berkuasa memulakan pencarian di Sektor C.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah bekata, seramai 28 anggota akan melakukan pencarian di ‘ground zero’ sehingga ke kawasan terdekat iaitu Sungai Kedondong yang jaraknya dalam 3 ke 4 kilometer.
“Ia bagi memastikan sama ada mangsa berada di situ atau dihanyutkan arus deras, namun setakat ini belum ada yang dijumpai,” katanya dalam satu sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Selain itu, 115 anggota penyelamat dari pelbagai agensi ditempatkan di lokasi kejadian selain 11 unit inkubator digunakan bagi membantu operasi berkenaan.
“Setakat ini masih tidak ada perkembangan yang positif sejak petang semalam.
“Pada pagi ini, kerja-kerja SAR menggunakan kekuatan 115 pegawai dan anggota yang melibatkan agensi penyelamat utama.
“Jumlah inkubator yang memasuki kawasan kejadian adalah sebanyak 11 unit dan dalam pada masa sama, kita menggunakan khidmat dua anjing pengesan,” katanya kepada Buletin TV3.
Setakat jam 10 pagi, kebanyakan pasukan masih di lokasi kejadian memerah kudrat sedaya mungkin namun masih tiada sebarang perkembangan.
Beliau turut memaklumkan terdapat 3 anggota SAR yang terlibat dalam kemalangan kecil selain ada yang terjejas kesihatan.
Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui satu kenyataan media semalam memaklumkan, Pengarahnya Datuk Norazam Khamis dimasukkan ke Hospital Selayang akibat keletihan dan ‘minor stroke’.