SERDANG: Proses menanam cerucuk besi dan kerja pembaikan cerun di lokasi tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, Puchong di sini diteruskan pagi ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, 46 cerucuk besi telah ditanam dan kerja-kerja (penanaman) akan disambung pagi ini.
“Pemantauan mendapati masih ada pergerakan tanah dikesan berlaku pada petang, semalam,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
“Kira-kira jam 3.30 petang semalam, didapati ada pergerakan tanah di mana simen hadapan pintu pagar beberapa rumah mulai runtuh,” katanya.
Mengenai empat kenderaan yang menggelongsor akibat kejadian itu, malam kelmarin, Anbalagan berkata salah sebuah daripada sudah berjaya dikeluarkan kira-kira jam 6 petang, semalam dengan menggunakan kren.
“Selain itu, kita sudah pun menutup Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka, kelmarin secara rasmi pada jam 9 malam tadi.
“Ini kerana lapan penghuni daripada satu keluarga yang berpindah sementara di situ sudah pun meninggalkan PPS bekenaan,” katanya.
Kata beliau, pihaknya bersama beberapa agensi lain yang kini berada di lokasi kejadian tanah runtuh terbabit akan terus memantau keadaan daripada semasa ke semasa.
Kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 malam kelmarin disebabkan hujan lebat yang tidak berhenti bermula jam 5.45 petang sehingga jam 7.30 malam tadi mengakibatkan berlaku pergerakan tanah.
Berikutan itu, seramai 29 penghuni di sembilan rumah di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, di Puchong dekat sini, diarah berpindah atas faktor keselamatan.