KUALA LUMPUR: Penghuni di tujuh rumah di Jalan Wawasan 3/4 Pusat Bandar Puchong diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan berlaku tanah runtuh di kawasan itu, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.26 malam dipercayai akibat hujan lebat lewat petang tadi.
Tanah runtuh dikesan berlaku di hadapan sebuah rumah.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, pasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong ke lokasi sebaik menerima laporan.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati berlaku gelongsoran tanah dianggarkan berkeluasan kira-kira 500 meter persegi dan kejadian menyebabkan sebuah kereta rosak.
“Berikutan itu, penghuni di tujuh rumah di situ diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga kerana masih ada pergerakan tanah di kawasan runtuh,”katanya.
Ujarnya, kejadian tidak membabitkan mangsa.
Namun, pemantauan tetap dilakukan oleh pihak bomba.