comscore
Tumpuan :
Nasional

Tanah runtuh: Penduduk harap dibenarkan pulang hari ini

Kejadian tanah runtuh di Taman Melawati.-Foto: NSTP

AMPANG: “Syukur kami selamat. Ketika tanah runtuh, kami ada di rumah. Sebaik ia berlaku, kami berpindah ke PPS,” kata Hasnah Said.

Hasnah, 45, berkata, ketika kejadian tanah runtuh di kawasan rumahnya di Jalan E6, taman Melawati, di sini, 15 Oktober lalu, dia berada di rumah bersama seorang anaknya.

“Pada hari kejadian, suami keluar bekerja manakala anak yang lain pergi ke sekolah dan seperti biasa, saya melakukan kerja-kerja rumah.

“Hujan di luar ketika itu sangat lebat. Saya kemudiannya menerima panggilan telefon daripada jiran dikenali sebagai Aisyah yang memaklumkan berlaku tanah runtuh berdekatan dengan rumah,” katanya ditemui di lokasi, hari ini.

Menurut Hasnah, dia bergegas keluar untuk memeriksa keadaan dan mendapati, air mengalir deras dari kawasan tanah runtuh itu.

“Kami kemudiannya menumpang sementara di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebelum dibawa ke PPS,” katanya.

Hasnah berkata, mereka masih belum dibenarkan pulang ke rumah buat masa ini dan hanya boleh pulang sebentar untuk mengambil barang keperluan atau mandi sahaja.

Katanya lagi, dia perlu mendaftar diri setiap kali mahu keluar dan masuk daripada PPS itu sebagai rekod pergerakan keluar masuk.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Hasnah turut menyatakan hasrat supaya penduduk dibenarkan pulang ke rumah pada hari ini.

Ketika ini seramai 23 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS berkenaan manakala kira-kira 10 lagi memilih untuk tinggal di hotel atau menumpang rumah saudara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan jaminan bahawa kediaman mangsa yang terbabit dengan tanah runtuh di Taman Melawati akan dikawal rapi bagi mengelakkan sebarang kejadian pecah rumah.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis sudah membuat kawalan di kawasan itu dan setakat ini rumah-rumah berkenaan berada dalam keadaan baik.

“Kita memberikan jaminan kita akan menjaga rumah ini sehingga semua penghuni kembali ke rumah masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas meninjau mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Jalan E5, di sini hari ini.

Hussien berkata mesyuarat penyelarasan bencana akan diadakan petang ini bagi memutuskan sama ada semua mangsa yang ditempatkan di PPS dibenarkan pulang ke rumah masing-masing atau tidak, berdasarkan dapatan kajian pergerakan tanah di kawasan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini