LIPIS: Nenek dan cucu terselamat selepas rumah yang didiami ditimpa tanah dan lumpur dari lereng bukit berdekatan di Taman Lipis Fasa 2, dekat sini, pada jam 6.30 petang tadi.
Pegawai Operasi, Mohd Burhan Mat Daud melaporkan, kawasan lereng bukit setinggi kira-kira 50 meter itu di belakang rumah terbabit telah berlaku gelinciran tanah dan menimpa belakang rumah tersebut.
“Keadaan rumah tersebut yang begitu hampir dengan lereng bukit itu dan dibimbangi akan menjadi lebih teruk sekiranya berlaku hujan lebat menjelang malam ini, oleh itu penghuni tersebut diarahkan berpindah ke tempat selamat.
“Mangsa telah berpindah ke rumah keluarganya yang tinggal berhampiran rumahnya,” katanya.
Katanya, seramai 7 anggota bomba dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan berkaitan kejadian itu.
“Pasukan bomba membuat pemantauan di tempat kejadian bagi memastikan keadaan selamat dan dibimbangi berlaku runtuhan susulan,” katanya.