comscore
Tumpuan :
Nasional

Tanah Runtuh: MPAJ laksana kerja pembersihan di Jalan Serdang, Jalan E6

Oleh: Fatin Hanani Sahimi 

PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan melibatkan Jalan Serdang dan Jalan E6, Taman Melawati susulan insiden tanah runtuh di Taman Melawati pagi tadi.

Menerusi kenyataannya hari ini, ia bagi memudahkan penduduk untuk keluar dan masuk ke kawasan kediaman berikutan terdapat 20 unit rumah yang dikenal pasti tidak mempunyai akses keluar rumah.

MPAJ juga akan memaklumkan jika akses tersebut boleh digunakan semula.

“MPAJ dan pihak KDEB Waste Management juga melaksanakan kerja-kerja pembersihan longkang di Jalan G2, Taman Melawati daripada lumpur, tanah atau pasir.

“Pihak Bomba akan mengalihkan saliran air ke sebelah Jalan G2, Taman Melawati bagi mengurangkan aliran air di kawasan yang terjejas.

“Sebagai langkah keselamatan, MPAJ juga menutup kawasan runtuhan dengan plastik tarpaulin,” ujarnya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Pusat Penempatan Sementara (PPS) juga akan dibuka di Dewan Orang Ramai Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 1, Taman Melawati dan Dewan MPAJ AU2, Taman Keramat jika berkeperluan.

Tambahnya, MPAJ serta agensi-agensi berkaitan akan terus membuat pemantauan keadaan di tapak dan sekiranya berlaku sebarang bencana, Unit PANTAS MPAJ sedia untuk dihubungi di talian 03-42857333 atau hubungi agensi-agensi berkaitan seperti Pasukan Bomba & Penyelamat atau PDRM.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11.30 pagi tadi, melibatkan cerun dengan anggaran ketinggian 20 meter dan lebar 20 meter.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada kerosakan struktur dikenal pasti di rumah berhampiran lokasi kejadian, namun aliran air lumpur masih mengalir di kawasan
kediaman berdekatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini