KUCHING: Bantuan pakar dari semenanjung diperlukan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS) bagi membantu operasi mengeluarkan mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di sini.
Bagaimanapun keputusan itu hanya akan dilakukan sekiranya keadaan memerlukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketika ini usaha untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus sedang giat dilakukan oleh pasukan penyelamat di lokasi kejadian.
“Ya usaha mencari mangsa masih giat dilakukan dan kita sentiasa memantau situasi di tempat kejadian terbabit.
“Sekiranya terdapat keperluan kita bersedia untuk membawa pasukan pakar dari Kuala Lumpur untuk membantu kita dalam operasi ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina peringkat negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) di sini.
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata, tahun lalu, Kerajaan Sarawak telah membelanjakan lebih RM60 juta bagi tujuan memperbaiki lereng-lereng bukit, jalan-jalan rosak dan jambatan runtuh akibat kejadian bencana.
Katanya, perkara itu merupakan isu-isu yang berterusan dihadapi JPBNS saban tahun apabila berlakunya bencana alam.
“Jadi nasihat kita ialah mereka-mereka yang duduk di lereng-lereng bukit ini mesti berjaga-jaga dan saya menyeru semua pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi berkaitan untuk melakukan penilaian berkaitan untuk menentukan kawasan-kawasan terlibat selamat untuk didiami atau tidak,” katanya.
Terdahulu, tiga daripada empat mangsa yang dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di lereng Bukit Kanada sudah ditemui setakat jam 1.30 tengah hari tadi.
Bagaimanapun kesemua mangsa terbabit telah meninggal dunia menjadikan mangsa yang maut dalam kejadian itu kepada empat orang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.