comscore
Tumpuan :
Nasional

Tanah Runtuh: JMG, JKR Selangor dapati masih ada pergerakan tanah – Polis

AMPANG: Hasil penilaian awal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor di kawasan tanah runtuh di Jalan E6 dan G2 di Taman Melawati di sini mendapati masih terdapat pergerakan tanah berlaku.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail, bagaimanapun kerja-kerja mengurangkan risiko akan dilakukan di kawasan runtuhan termasuk meletakkan kanvas.

“Hasil dapatan pihak kami masih terdapat pergerakan tanah di lereng bukit terbabit, sehubungan itu beberapa tindakan diambil.

“Dapatan (JMG) memang terdapat pergerakan, di sebelah kiri memang ada pergerakan (tanah),”katanya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail

Bagaimanapun, kajian kali kedua jelas Azam akan dilakukan esok bagi mengenal pasti sama ada masih berlaku pergerakan tanah atau sebaliknya.

“JMG dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat kajian sekali lagi esok hari untuk mengenal pasti tindakan susulan akan datang,” katanya lagi.

Ujar Azam, ketika ini kerja-kerja meletakkan kanvas selebar 20 meter dan 30 meter tinggi akan dijalankan di kawasan runtuhan.

“Pertamanya pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan meletakkan kanvas plastik di sepanjang lereng itu bagi mengelakkan hakisan lebih teruk memandangkan hujan agak lebat.

“Kita meletakkan kanvas dengan harapan dapat mengurangkan pergerakan tanah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut jelas Azam, kesemua 33 orang penduduk daripada 11 buah keluarga yang diminta mengosongkan kediaman mereka di Jalan E6 masih tidak dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing hari ini.

“Sehubungan itu tindakan kedua kita menasihatkan para penduduk di jalan E6 sebanyak 20 buah rumah teres terlibat tidak memasuki rumah hari ini

“Jadi perkara ketiga, semua penduduk yang terlibat dan terkesan telah berpindah di tempat pemindahan baharu di Dewan Orang Ramai Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 1 berhampiran kawasan insiden ini.

“Manakala penduduk yang tidak mahu duduk di dewan ini boleh tinggal di rumah saudara mereka berdekatan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini sebentar tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini