Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
HULU TERENGGANU: Jenazah dua beradik, Puteri Sajidah Azman, 16 dan Siti Fatimah Azman, 13 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Apit, jam 11.30 pagi tadi.
Sebelum itu, jenazah kedua-dua mangsa dituntut keluarga dan disembahyangkan di Masjid Kampung Bukit Apit.
Lebih 300 orang termasuk ahli keluarga hadir untuk menunaikan solat jenazah.
Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, tiga beranak dilaporkan terperangkap dalam insiden tanah runtuh di Jalan Bukit Apit, Ajil.
Dua daripadanya, Puteri Sajidah dan adiknya, Siti Fatimah masing-masing ditemukan maut pada 6.32 petang dan 6.59 petang.
Mayat kedua-dua mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ajil itu diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tujuan bedah siasat.
Seorang lagi mangsa, Uzair Azman, 17, ditemukan dalam keadaan selamat jam 5.17 petang sebelum dibawa ke HSNZ untuk rawatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.