comscore
Tumpuan :
Nasional

Tanah Runtuh di Ampang: Penduduk bimbang kejadian berulang 

Oleh: Fatin Hanani Sahimi 

AMPANG: Penduduk Taman Lembah Maju di sini, berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengelak kejadian tanah runtuh berulang di kawasan tersebut.

Penduduk Adrean Untam,44, berkata, ia merupakan kejadian kedua selepas pertama kali berlaku pada Januari tahun lalu.

“Sebelum ini ada kejadian tanah runtuh di  hadapan sana, dan ada dua kereta yang terjatuh pada masa itu.

“Malah dibahagian belakang sana juga ada tanda-tanda runtuhan jadi saya minta pihak yang bertanggungjawab turun bersama memantau sebab memang membahayakan,” katanya kepada Buletin TV3.

Menurutnya ketika kejadian, isterinya menghubungi memberitahu sebuah lori yang parkir berhampiran kediamannya hampir terjunam sebelum bergegas pulang.

“Semasa kejadian saya sedang bekerja isteri saya hubungi dan kata lori kepunyaan jiran sebelah nak jatuh di  tanah runtuh jadi saya cepat balik dan hubungi jiran saya untuk maklumkan,” ujarnya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur berkata, saluran pengaliran yang tidak mampu menampung jumlah air yang banyak berkemungkinan menjadi  punca berlakunya tanah runtuh berkenaan.

Tambahnya satu cadangan menaik taraf sungai telah dilakukan oleh pihak JPS melibatkan dua buah sungai, iaitu Sungai Kerayong dan Sungai Seputih.

“Kos keseluruhan penyelenggaraan mencecah sehingga  RM28 juta tetapi kita cuma mampu untuk mendapat RM18 juta sahaja jadi kita akan naik taraf sebahagian dulu

“Sekarang kita masih menunggu dana dari kerajaan persekutuan untuk menanggung kos naik taraf dan yang akan dimulakan tahun hadapan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini