Tumpuan :
Nasional

Tanah Runtuh di Ampang: MPAJ, JPS laksana kerja baik pulih tebing, parkir

Kejadian tanah runtuh di Taman Lembah Maju.

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

AMPANG: Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan melaksanakan kerja-kerja membaik pulih tebing, susulan kejadian tanah runtuh di Taman Lembah Maju semalam.

Jurutera JPS Hulu Langat, Mohd Azizan Ajimin berkata, notis pengosongan kepada penduduk yang meletakkan kenderaan di bahagian tepi anak Sungai Putih itu juga akan dikeluarkan bagi mengelak kejadian berulang.

“Bagi langkah pembaikan sebagai perancangan awal, pihak MPAJ akan melakukan kerja pembaikan di saluran keluar tersebut dan kemudian JPS akan memasang konkrit L di kawasan ini.

“Kemudian kita akan kuatkuasakan sama ada tempat ini sesuai atau tidak untuk meletakkan kenderaan dan di sebelah sana ( kawasan perumahan) kita akan notiskan untuk pengosongan sebab tempat itu tidak sepatutnya ada kenderaan,”ujarnya ketika ditemui Buletin TV3 di sini.

Jurutera JPS Hulu Langat Mohd Azizan Ajimin

Jelasnya runtuhan dipercayai berlaku dari kewujudan lubang di yang dikesan di kawasan tanah runtuh berkenaan, namun tidak menjangkakan ia akan menjadi lebih serius disebabkan hujan berlarutan.

“Proses pembaikan akan mengambil masa lebih satu bulan lebih dan kawasan ini akan ditutup sepanjang tempoh berkenaan,” ujarnya.

Dalam kejadian jam 7.14 malam semalam, insiden tanah runtuh berlaku di sini menyebabkan dua kenderaan hampir terjunam  ke dalam sungai.

Ia bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan MPAJ memaklumkansusulan kejadian, Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) bertindak membuat kawalan lalu lintas dan turut melaksanakan kerja-kerja menarik keluar dua buah kenderaan tersebut dari lokasi l menggunakan trak tunda jam 9 malam semalam.

“Orang ramai khususnya penduduk Ampang juga diingatkan supaya bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk bencana terutamanya ketika musim peralihan monsun dan musim tengkujuh yang diikuti hujan lebat dan angin kuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tinjauan Buletin TV3 di kawasan berkenaan mendapati, tali keselamatan turut dipasang di sepanjang laluan sebagai langkah keselamatan kepada penduduk dan orang awam.

Pihak JPS dan MPAJ turut hadir memantau keadaan runtuhan terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini