Oleh: Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Beberapa runtuhan kecil dilaporkan berlaku sejak malam tadi di lokasi tanah runtuhan berdekatan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) milik Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Bukit Tunku, dekat Lingkungan Jalan Duta, di sini.
Berikutan itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, perbincangan sedang dilakukan melibatkan beberapa agensi berhubung pemasangan kanvas dan cerucuk besi di kawasan berkenaan.
“Pada malam tadi bermula jam 10 malam terdapat pergerakan minimal yang mengakibatkan berlaku runtuhan baharu di kawasan ini sehingga terkena pagar berdekatan dengan bangunan Pusat Integriti.
“Selain itu, terdapat juga beberapa penambahan retakan baharu kerana berlakunya bergerakan akibat mendapan tanah dan hujan,” katanya.
Beh berkata, pihak Pusat Integriti dan MACA juga telah diarah untuk mengosongkan bangunan kerana bimbang runtuhan berulang.
“Pihak teknikal dan beberapa agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan awam dan Jabatan Kerja Raya sudahpun tiba dan kami akan melakukan perbincangan mengenai pemasangan cerucuk besi.
“Buat masa ini, kami tidak boleh membuat apa-apa andaian lagi namun kami meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan datang ke lokasi ini,”katanya.
Runtuhan tanah di cerun bukit berdekatan Akademi milik SPRM ini, melibatkan kawasan seluas 30.48 x 36.57 meter persegi.
Sementara itu, agensi penyelamat dalam insiden tanah runtuh di Bukit Tunku dijadual bermesyuarat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul jam 3 petang ini .
Satu sidang media turut dijadual diadakan jam 5.30 petang.
Pada Selasa, 76 petugas Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) terpaksa dipindahkan ke lokasi selama selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Insiden melibatkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM turut menyebabkan sebuah pondok kawalan runtuh.