Oleh: Fareez Azman
AMPANG: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BigBen), Jabatan Kerja Raya (JKR) beberapa hari lalu bagi memantau cerun di seluruh negara.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan, ia bagi memantau 3,200 cerun ketika negara berdepan fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) bermula bulan depan.
“Kami ada semua senarai 27,000 cerun, ada 3,200 cerun berisiko oleh itu kita telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana dibangunan JKR di Ibu Pejabat beberapa hari lepas.
“Jika perlu kita akan bekerja 24 jam untuk memberikan sistem amaran awal khusus berhubung dengan cerun berhampiran penempatan terutama di sekolah ada 10,000 di seluruh negara dan kawasan cerun berdekatan di jalanraya,” katanya.
Jelasnya, bilik gerakan itu akan diketuai Jurutera Daerah JKR dengan kerjasama pelbagai agensi yang berkaitan bagi memantau setiap cerun yang berisiko.
“Semua cerun ini di Jalan Persekutuan iaitu 27,000 cerun, juga 3,200 cerun yang berisiko di Jalan Persekutuan termasuk di kawasan bangunan kerajaan, hospital, sekolah, klinik-klinik kesihatan begitu.
“Jadi inilah Menteri KKR telah mengarahkan bilik gerakan diaktifkan. Segala jentera di JKR di daerah-daerah akan diketuai Jurutera Daerah akan mengaktifkan segala rangkaian di daerah berkaitan,”katanya lagi.
Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh di Taman Melawati, Ahmad Maslan berkata langkah mitigasi jangka pendek sedang dan akan dilakukan di kawasan berkenaan.
Ia termasuk membersihkan sisa runtuhan, longkang di bahagian atas dan bawah lereng bukit berkenaan.
“Buat masa ini tindakan migitasi jangka pendek iaitu pembersihan sisa runtuhan, longkang diatas dan bawah cerun, kerja mencatas pokok dan pengaliran sementara laluan air.
“Manakala kerja kerja menutup runtuhan dengan kanvas (di kawasan runtuhan) sedang dilaksanakan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di lokasi tanah runtuh di Jalan E6 dan G2 Taman Melawati di sini hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.