HULU SELANGOR: Lima lagi mayat ditemui setakat jam 1 tengahari tadi dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya .
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan ada yang masih di lokasi kejadian.
Dr Zaliha berkata demikian pada sidang media di Hospital Selayang selepas melawat mangsa yang cedera, hari ini.
Laporan awal menyebut seorang kanak-kanak lima tahun antara yang maut.
Kira-kira jam 11 pagi ini, mayat mangsa yang ke-10 telah dapat dibawa keluar.
Kejadian turut menyebabkan 7 mangsa cedera setakat ini.
Manakala kira-kira 20 masih belum ditemui .
Setakat ini, daripada 92 mangsa yang ditemui, 60 disahkan selamat.
Mereka dibawa keluar oleh anggota bomba yang dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi .
Bomba Selangor masih menjejaki mangsa yang masih hilang.
Dilaporkan 79 mangsa yang berada di tapak perkhemahan ini terlibat dalam kejadian runtuhan di tepi jalan berhampiran ‘Father’s Organic Farm’.
Terdahulu, Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis memberitahu runtuhan menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan .
Ketinggian runtuhan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan satu ekar.
Usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan oleh pihak Bomba serta dibantu bersama oleh agensi lain iaitu Persatuan Bomba Sukarela, Bomba Swasta, PDRM, APM, KKM dan Pasukan SMART.
Maklumat dari semasa ke semasa akan dikemaskini sehingga operasi selesai.
Berita lanjut menyusul.