comscore
Tumpuan :
Nasional

Tanah jerlus akibat dinding longkang konkrit pecah

Kejadian tanah jerlus yang berlaku pagi semalam di Jalan Bestari 2/5 membimbangkan penduduk di perumahan Cendana, Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam. -Foto fail NSTP

KUALA SELANGOR: Kejadian tanah jerlus di perumahan Cendana, Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam, di sini, 5 Jun lalu dipercayai berpunca daripada pecahan kecil pada bahagian dinding longkang konkrit utama bawah tanah sedalam lima hingga enam meter.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Yusli Askandar berkata, semakan lanjut di kawasan rizab parit penghujung Jalan 2/5 Puncak Bestari itu juga menemui lubang sebesar tiga meter akibat mendapan tanah di atas jajaran saliran longkang konkrit utama yang dilitupi tanah.

“Susulan itu, MPKS sudah mengambil tindakan segera dengan memasang tali rentang keselamatan di sekitar kawasan terbabit bagi menghalang orang awam dan penduduk menghampiri lokasi kejadian untuk tujuan keselamatan.

“MPKS juga menutup kawasan terbabit dengan khemah sementara untuk mengelakkan air hujan bertakung. Ketika ini, tiada pergerakan atau mendapan susulan berlaku di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Yusli berkata, pihaknya juga sudah menghubungi serta memohon pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) untuk membuat semakan dan pemeriksaan sistem paip bekalan air serta sistem paip pembetungan.

“Ia bertujuan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat kebocoran saluran paip yang boleh menyumbang kepada masalah mendapan atau tanah jerlus di sekitar lokasi tersebut.

“MPKS turut akan mendapatkan pandangan daripada pakar berkaitan kerja tanah bagi memperoleh khidmat nasihat atau pandangan bagi merancang cadangan kerja-kerja tanah untuk tujuan pembaikan tanah jerlus atau lubang akibat mendapan tanah dan juga kerosakan dinding longkang konkrit di lokasi terbabit.

“Ini mengambil kira faktor keselamatan bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan dan kemudahan lain serta jarak rumah penduduk berhampiran,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lebih 100 penduduk perumahan terbabit berdepan isu keselamatan di penempatan itu sejak 2016, sehingga berlaku kejadian tanah jerlus baru-baru ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini