Oleh Khairul Rizuan Azizan
SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin yang mendakwa keterbukaan Malaysia untuk berunding dengan China berhubung aktiviti cari gali oleh Petronas di Laut China Selatan bakal mengundang risiko ancaman kedaulatan negara.
Sebaliknya tegas Perdana Menteri, Petronas akan terus melaksanakan kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan, namun terbuka untuk rundingan jika China merasakan kawasan berkenaan adalah wilayah mereka.
“Bila benda itu dah bertindih maka kita bincanglah tapi tidak menghalang kita untuk menyambung projek. Projek tetap jalan. Jadi apa percanggahan yang kita kompromi apa?”
“Masalahnya Tan Sri Muhyiddin ini dia banyak masalah sekarang. Dia tak baca kenyataan saya. Kita akan terus projek cari gali Petronas. Noktah!” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kita Untuk Kita, (K2K)di Shah Alam, pagi tadi.
Malah ujarnya, pendirian itu turut dinyatakan oleh beliau kepada Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang dalam lawatannya ke Beijing, baru-baru ini.
“Tapi sekarang negara China kata tidak kawasan ini bertindih. Saya kata Ok kalau macam tu boleh bincang. Kalau tak mahu bincang nak buat apa? Perang?” katanya.
Khamis lalu, Tan Sri Muhyiddin menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai cuai selain secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan.