SHAH ALAM: Menanam hasrat bagi mendapatkan rawatan penglihatan, Nurul Fadilah Imral memberanikan diri untuk tampil sesi uji bakat Calpis Soda One In A Million! di Shah Alam.
“Jika ada rezeki untuk menang, tujuan utama saya adalah untuk memperbaiki diri, menyara keluarga, dan membantu mereka yang memerlukan, terutamanya golongan OKU lain yang memerlukan sokongan.
“Saya juga berhasrat untuk mendapatkan rawatan bagi memperbaiki keadaan mata dan jika diizinkan, menggantikan dengan mata palsu. Saya sentiasa berharap dan teringin untuk merasa pengalaman melihat dengan kedua-dua mata,” katanya.
Fadilah atau ebih dikenali Dilah Imral merupakan seorang individu istimewa (OKU) yang berasal dari Sandakan, Sabah, kini menetap di Teluk Panglima Garang, Selangor, dan bekerja dalam bidang pemasaran.
“Kehidupan keluarga saya dari dulu hingga sekarang sederhana saja. Kami bukan dari golongan yang senang, jadi saya sentiasa berusaha sendiri untuk menyara keperluan. Semasa cuti sekolah, saya akan bekerja untuk menampung perbelanjaan mingguan. Ketika di universiti, setiap cuti semester selama tiga bulan, saya mengambil peluang bekerja di Semenanjung untuk menampung keperluan hidup dan pendidikan, yang semuanya saya tanggung sendiri.”
“Saya dilahirkan dengan kekurangan upaya, di mana kini saya hanya dapat melihat menggunakan satu mata, namun kesihatan saya secara keseluruhannya masih baik.”
Dilah mengetahui tentang Calpis Soda OIAM melalui rakan kerja.
Rakan sekerja juga menyedari bakat nyanyiannya dan mengakui suaranya sesuai untuk pertandingan ini.
Dilah terlalu sibuk untuk menyertai, tetapi kini dia berpeluang mencuba.
Pada mulanya, Dilah menyangka terlepas tarikh uji bakat, tetapi lega apabila mendapat tahu masih ada peluang pada semalam.
“Pesanan saya, rezeki itu tidak diketahui di mana, tetapi selagi kita berusaha dan berdoa, insyaAllah, kita akan menerima hasilnya. Yang penting, sentiasa bersyukur dengan setiap peluang dan usaha yang ada,” katanya.
Bagi yang berhasrat menghadiri uji bakat Calpis Soda One In A Million!, anda boleh hadir ke lokasi yang terakhir pada 23 & 24 November 2024 (Sabtu & Ahad) di Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak dan Kuantan City Mall, Pahang dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.