KOTA BHARU: Orang ramai sanggup berjaga malam dengan mengunjungi Sungai Kelantan di Tambatan Diraja bagi memantau keadaan sungai di bandar ini.
Tinjauan lewat malam tadi mendapati, lebih 50 penduduk berada di lokasi berkenaan untuk melihat keadaan sungai sehingga ada di kalangan mereka sanggup berada di lokasi berkenaan sehingga awal pagi, susulan paras air sungai semakin meningkat.
Sehingga 7 pagi ini, paras air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja melepasi paras berjaga-jaga iaitu 3.44 meter.
Hussin Abdullah, 37, yang tinggal di Kampung Tikat di sini berkata, sudah dua malam dia berjaga dan datang ke sini untuk melihat keadaan paras air sungai.
“Tujuan datang melihat keadaan sungai supaya kami sekeluarga lebih berjaga-jaga. Keadaan sekarang nampak masih okey walaupun trend air sungai semakin menaik.
“Jika paras air sungai melepasi paras bahaya, ia akan melimpah masuk ke kawasan sekitar. Semalampun saya berada di sini sehingga jam 2 pagi kerana tidak mampu tidur lena dalam keadaan sekarang,” katanya.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang hingga esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.