Tumpuan :
Nasional

Tambang mungkin naik tiga kali ganda, kos eksport meningkat

Sebarang pengumuman mengenai kenaikan baharu dalam kadar tambang atau pengenalan surcaj perlu dimaklumkan – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pengeksport dan pengimport Malaysia perlu memperhalusi strategi perniagaan bagi melindungi rantaian bekalan dan mengurangkan kelewatan untuk memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih baik dalam mengurangkan kesan situasi yang semakin meningkat di Laut Merah.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pihaknya bimbang dengan krisis keselamatan yang semakin meruncing di rantau Laut Merah sehingga memaksa beberapa firma perkapalan terbesar dunia mengalihkan kapal ke laluan yang lebih jauh di sekitar hujung selatan Afrika.

Beliau berkata, mengelilingi Afrika akan menambah satu hingga dua minggu masa pelayaran, dan ia bukan saja akan meningkatkan kos untuk mengeksport barangan ke Afrika Utara, Asia Barat dan Eropah kerana kadar tambang dijangka meningkat tiga kali ganda berbanding tahun lalu tetapi juga menyebabkan kelewatan kapal kembali ke Asia.

Justeru, katanya, pengeksport Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan ketersediaan kontena kosong akan berada dalam bekalan yang ketat sekali lagi berikutan krisis di Asia Barat.

“Memandangkan kadar tambang yang berubah-ubah dan masa transit yang tidak menentu, pengeksport dan pengimport perlu menyediakan tempahan kontena dan jadual penghantaran sebaik-baiknya sebulan lebih awal untuk eksport ke pasaran yang terjejas.

“Bagi barangan yang tidak sensitif terhadap masa, dinasihatkan untuk menunggu sehingga beberapa minggu pertama Februari 2024 semasa cuti Tahun Baharu Cina memandangkan kos pengangkutan dijangka berkurangan dalam tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Thian Lai berkata, bagi memudahkan pengeksport dan pengimport merancang operasi perniagaan mereka, FMM menyeru syarikat perkapalan untuk menghormati kadar tambang pratempah yang diberikan kepada pengeksport dan pengimport Malaysia tanpa pelarasan.

Beliau berkata, sebarang pengumuman mengenai kenaikan baharu dalam kadar tambang atau pengenalan surcaj perlu dimaklumkan dan dirunding secara telus untuk membolehkan pengeksport merancang dan berunding dengan pengimport mereka.

Bagi eksport dan sumber dari Asia Barat, katanya, FMM menggesa pengilang untuk mengalihkan pergantungan mereka kepada ASEAN dengan mendapatkan sumber dari rantau ini yang bukan saja mengenai penjimatan kos, tetapi juga keselamatan rantaian bekalan akibat ketidaktentuan geopolitik termasuk perang Israel-Hamas.

“Tahap pembangunan ekonomi yang berbeza-beza di ASEAN ditambah dengan pengkhususan industri setiap negara membolehkan pelengkap yang lebih besar antara negara anggota (tenaga kerja dan sumber asli).

Loading...
Terkini