ROMPIN: Kerajaan Pahang bersetuju untuk mengurangkan sebanyak 60 peratus tambang feri ke Pulau Tioman berbanding kadar semasa kini sebanyak RM50 seorang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar pelbagai rungutan daripada penduduk di pulau itu termasuk harga tambang feri yang dikatakan membebankan mereka.
“Saya mendapati kerajaan negeri seharusnya mempertimbangkan keluh kesah mereka (penduduk Pulau Tioman) dan bersetuju untuk memberi kelulusan mengurangkan tambang feri daripada RM50 kepada RM20 seorang.
“Ini bermakna Kerajaan Pahang terpaksa memberi subsidi sebanyak RM500,000, saya percaya dengan penurunan harga tambang feri itu ia sedikit sebanyak boleh meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk di pulau peranginan itu,” katanya selepas mengadakan lawatan dan bertemu dengan penduduk Pulau Tioman, di sini semalam.
Hadir sama Ahli Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang, Datuk Seri Johari Harun dan calon Barisan Nasional (BN), kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.
Mengenai jeti kargo, Wan Rosdy berkata, permohonan kepada Kementerian Pengangkutan dikemukakan bagi membaik pulih jeti sedia ada yang menelan belanja hampir RM8 juta. Untuk itu kerajaan Pahang memberikan peruntukan sebanyak RM1 juta.
Katanya, sebuah klinik bagi menempatkan ibu bersalin di Pulau Tioman diberikan kelulusan bagi kemudahan penduduk setempat.
“Seorang doktor pakar akan ditempatkan di klinik terbabit yang akan mengetuai wad bersalin terbabit, saya percaya kemudahan ini dapat memberi lebih keselesaan penduduk di kawasan Pulau Tioman.
“Kerajaan negeri sentiasa berusaha memberi keselesaan kepada penduduk Pulau Tioman, setiap kali tiba Monsun Timur Laut (MTL) bantuan keperluan asas diberikan oleh agensi kerajaan yang dilantik,” katanya.