Tumpuan :
Nasional

Tambang feri, diskaun 30% untuk pengguna motosikal mulai esok 

GEORGE TOWN: Mulai esok Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), menawarkan diskaun 30 peratus kepada pengguna motosikal melalui pas bulanan sehingga 30 Jun 2024.

Selaku syarikat pengendali perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang, PPSB, dalam kenyataannya mengumumkan kadar baharu tambang pas bulanan menerusi pendaftaran MyKad untuk pengguna motosikal adalah RM105 untuk 60 perjalanan iaitu bersamaan RM1.75 untuk satu perjalanan.

Pas bulanan semasa untuk pengguna motosikal adalah RM150 untuk 60 perjalanan bersamaan RM2.50 untuk satu perjalanan.

Sepanjang bulan ini, PPSB telah memantau dengan teliti komen dan kebimbangan orang ramai berhubung perkhidmatan feri Pulau Pinang.

“Sebagai tindak balas kepada maklum balas yang diterima, PPSB dengan pengesahan bersama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan MMC Corporation Berhad (MMC) dengan sukacitanya mengumumkan satu inisiatif khas yang kami percaya akan memberikan keselesaan dan kemampuan kepada pelanggan feri kami,” menurut PPSB.

PPSB memaklumkan a PPSB, PPC, MOT dan MMC memahami kepentingan menyelaras perkhidmatan feri dengan mod pengangkutan lain di Pulau Pinang.

Justeru, jadual perkhidmatan feri kini akan menyediakan perjalanan tambahan pada jam 11 malam setiap hari dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth.

“Pelarasan ini bagi menyelaraskan perkhidmatan feri dengan jadual tren perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang tiba di Butterworth pada jam 10.22 malam.

“Ia akan memudahkan perjalanan pengguna bagi kedua-dua perkhidmatan awam itu,” menurut kenyataan itu.

Minggu lalu, PPSB mengumumkan kadar tambang untuk perkhidmatan feri baharu di Pulau Pinang yang dikenakan kepada penumpang berkuat kuasa Khamis bermula pada harga serendah RM1 hingga RM2.50 sehala di PSAH dan Pangkalan Raja Tun Uda.

Tambang RM1 akan dikenakan kepada pejalan kaki yang berusia 12 tahun ke bawah manakala penumpang dewasa atau individu berusia 12 tahun ke atas dikenakan RM2 bagi sehala.

Selain itu, penunggang basikal yang menaiki feri juga akan dikenakan caj sebanyak RM2 manakala penunggang motosikal adalah sebanyak RM2.50.

Loading...
Terkini