GEORGE TOWN: Penang Port Sdn Bhd (PPSB) selaku pengendali operasi Feri Pulau Pinang hari ini mengumumkan tambang untuk penumpang feri berkuat kuasa 7 September selepas perjalanan percuma selama sebulan lalu.
Pejalan kaki dewasa berusia 12 tahun ke atas dikenakan tambang RM2.00, manakala kanak-kanak bawah 12 tahun dikenakan RM1.00
Di samping itu, pengguna motosikal dikehendaki membayar RM2.50, manakala penunggang basikal pula RM2.00
“Dalam usaha untuk meningkatkan pengalaman feri dan mengekalkan standard perkhidmatan terbaik, PPSB dengan sukacitanya mengumumkan tambang feri baharu untuk para penumpang di Pangkala Raja Tun Uda (PRTU), George Town dan Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth. Kadar kemas kini akan berkuat kuasa pada 7 September 2023.
“Tambang feri baharu ini mencerminkan komitmen dan usaha kami ke arah penambahbaikan berterusan untuk semua penumpang di samping menyokong peningkatan kemudahan perkhidmatan feri.
“Matlamat kami adalah untuk menyediakan perjalanan yang selamat, mudah dan menyeronokkan untuk semua orang dan perubahan ini memainkan peranan penting dalam mencapai objektif tersebut,” kata PPSB dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain tambang feri baharu ini, PPSB juga akan memperkenalkan Pas Bulanan pada masa hadapan yang menawarkan diskaun kepada pengguna feri.
Inisiatif itu, katanya bertujuan untuk memberikan nilai tambah dan kemudahan kepada pengguna setia perkhidmatan pengangkutan itu.
“Kami menghargai para penumpang dan berterima kasih atas sokongan berterusan yang diberikan. Perubahan ini akan membolehkan kami meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan feri berkualiti tinggi, selamat, cekap dan mudah diakses,” tambahnya.
Empat feri berwajah baru yang dinamakan sebagai Teluk Bahang, Teluk Kampi, Teluk Duyung dan Teluk Kumbar telah memulakan operasi pada 7 Ogos lalu menggantikan feri ikonik yang sudah ditamatkan perkhidmatannya.
Feri baharu ini beroperasi setiap hari bermula jam 6.30 pagi di PSAH dan berakhir pada jam 9.30 malam di PRTU.
Manakala di PRTU, feri akan bermula pada jam 7 pagi dan berakhir pada jam 10 malam.
Sebelum ini, selepas 126 tahun menjadi pengangkutan tertua di Pulau Pinang, perkhidmatan feri ikonik sebagai alternatif laluan dari Seberang Perai untuk ke bahagian pulau dan sebaliknya telah digantikan dengan bot laju bermula 1 Januari 2021 sebagai mod pengangkutan sementara sehingga feri baharu mula beroperasi.
Ia juga sekaligus menghentikan perkhidmatan feri untuk kenderaan empat tayar bermula 1 Januari 2021 dan hanya digunakan untuk perjalanan motosikal dan basikal sahaja.