Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan-Kesatuan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU) dan Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) hari ini mengadakan pertemuan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut Presiden MAPSU, Ajulahin Japin, pertemuan itu antara lain bagi menyampaikan keluhan jururawat di negara ini berhubung arahan terbaharu membabitkan keputusan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang mewajibkan tambahan tiga jam bekerja seminggu untuk jururawat wad mulai 1 Disember 2024.
“Kami yakin dan percaya Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah mendengar dan sedia mempertimbangkan mengambil tindakan seterusnya untuk kebaikan jururawat di seluruh negara.
“Sebagaimana dijanjikan Menteri sebentar tadi, beliau akan merujuk kepada pihak terlibat pengurusan tertinggi Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mencari penyelesaian terbaik untuk jururawat dan pekhidmatan awam di Malaysia,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.
Nada sama disuarakan Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Saaidah Athman yang mengharapkan keputusan positif demi kepentingan jururawat di negara ini.
“Kami percaya dan positif bahawa KKM terutamanya Menteri Kesihatan akan menambil satu keputusan yang positif demi memastikan perkhidmatan kesihatan ini dapat diteruskan dengan begitu cemerlang dan berkualiti.
“Tentang perkara tersebut (keputusan) saya rasa kita tunggu pengumuman Menteri dan pihak atasan perbincangankan. Daripada pihak kami, kami telah sampaikan hasrat kami dan saya yakin atas keprihatinan YB Menteri saya rasa Insya-Allah ianya positif,” katanya lagi.
Sebelum ini, SSPA mewajibkan tambahan tiga jam bekerja seminggu untuk jururawat wad mulai 1 Disember 2024.
Bagaimanapun arahan terbaharu itu mendapat bantahan pelbagai pihak terutamanya kesatuan jururawat yang menggesa agar keputusan itu disemak semula oleh KKM dan JPA.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.