KUCHING: Kerajaan akan memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan kerja pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.
Peruntukan terbabit diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu rakyat di Sarawak khususnya masyarakat Dayak menyelesaikan isu berkaitan tanah adat mereka.
“Kita berkerja sebagai satu pasukan, hak mesti dihormati sebab itu bila premier dan kerajaan negeri putuskan tentang NCR saya terima sesuatu yang baik yang saya anggap satu keputusan yang bijak.
“Ini supaya keluhan masyarakat asal di sini mengenai kawasan milih tanah NCR mereka telah diselesaikan dengan begitu baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis sambutan Perayaan Gawai Dayak 2023 di Pusat Konvesyen Borneo Kuching di sini malam tadi.
Kerajaan sebelum ini, iaitu dari 2010 hingga 2017 telah memperuntukan sejumlah RM150 juta kepada Sarawak bagi tujuan berkenaan.
Bagaimanapun peruntukan terbabit dikurangkan secara mendadak dengan tahun ini hanya RM2 juta diperuntukkan bagi tujuan berkenaan.
Terdahulu Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam ucapannya memohon kepada Perdana Menteri untuk memberikan pertimbangan untuk meningkatkan jumlah peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja pengukuran tanah NCR di negeri itu.
Menurut Douglas, jumlah keseluruhan tanah NCR di Sarawak dianggarkan seluas 1.5 hektar dengan 1.1 juta hektar daripada jumlah terbabit telah disukat di bawah Seksyen 6, Kanun Tanah Negeri.
Sementara hanya 85,000 hektar atau 67,700 lot tanah terbabit telah diserahkan kepada pemiliknya di bawah seksyen 18 Kanun yang sama.