Tumpuan :
Nasional

Tambahan 40 ‘autogate’ kod QR di KLIA diperoleh sebelum hujung tahun

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban bersama Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid pada sidang media ketika mengadakan lawatan bersama delegasi melawat Media Prima Berhad (Media Prima) di Anjung Liku, Balai Berita, Bangsar. NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Penambahan 40 sistem pagar automatik (Autogate) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, akan diperoleh menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata penambahan aset itu turut dilengkapi dengan imbasan kod QR.

Ujarnya, setakat ini terdapat 54 kelengkapan itu di kedua-dua lokasi itu, dan penambahan ini akan melibatkan 10 unit di Balai Ketibaan dan 10 unit di Balai Pelepasan, masing-masing Terminal 1 dan 2.

“Dia ambil masa antara 10 ke 15 saat untuk melepasi auto gate, so melalui penggunaan kod QR ini kita boleh membaca ataupun melepasi kurang daripada 5 saat ini.

“Satu penambahbaikan yang kita akan laksanakan setakat ini, statusnya masih di peringkat perolehan dan kita jangka perkara ini akan diselesaikan sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Minggu lalu media melaporkan rungutan rakyat Malaysia akibat kesesakan di ‘autogate’ kedua-dua terminal selepas penggunaannya turut dibuka kepada pelancong daripada 63 negara.

Zakaria menjelaskan, selain menyelesaikan isu kesesakan, penggunaan teknologi itu berpotensi mengurangkan risiko salah laku rasuah.

“Rasuah ini berlaku apabila dia ada campur tangan daripada petugas melalui penggunaan ‘autogate’ sama ada yang mempunya kod QR ataupun tidak kerana tak ada petugas, hanya dia (pelancong) dengan mesin sahaja, dengan sistem.

“Kalau kata sistem ada masalah automatik dia akan sekat, termasuklah kalau kata ada campur tangan daripada perlawan, jadinya macam mana dia nak setting, dia tak boleh setting di sistem,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini