Oleh: Akmaliah Razak
GUA MUSANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki Orang Asli suku kaum Bateq, Kampung Aring 5, Gua Musang, terus dipergiat bagi mengesan mangsa yang hilang dikhuatiri diserang binatang buas di Sungai Hulu Aring 5, kelmarin.
Operasi ini memasuki hari kedua yang mana membabitkan pencarian menerusi laluan darat dan air menggunakan bot menyelusuri sungai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menghantar 26 lagi kekuatan pada hari ini bagi meluaskan lagi pencarian sehingga dua kilometer dari lokasi kejadian untuk mengesan jejak mangsa.
“Untuk operasi pada hari ini, kita hantar dua pasukan lagi masuk ke dalam melibatkan 26 kekuatan dari pelbagai agensi masuk ke dalam kawasan lokasi mencari dan menyelamat.
“Antara agensi yang terlibat ialah PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Buat masa ni, kita belum dapat sebarang petunjuk ataupun berita dari pasukan SAR. Esok, 12 Mei, kita akan hantar lagi 25 kekuatan melibatkan dua seksyen PGA Batalion 7 Kuantan untuk ke kawasan lokasi pencarian bersama pihak bomba dan penduduk kampung,” katannya ketika dihubungi Buletin TV3.
Tambah Choon Foo, sehingga hari ini, tiada sebarang petunjuk atau penemuan. Operasi pada hari ini ditangguhkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula pada jam 8 pagi esok.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki Orang Asli Kampung Aring 5, Halim Asin, dikhuatiri dibaham binatang buas ketika dalam perjalanan pulang ke khemah selepas memancing ikan bersama cucunya.
Mangsa bersama tujuh yang lain termasuk empat kanak-kanak dalam perjalanan pulang dari Jerantut melalui jalan hutan ke perkampungan mereka.
Menantu mangsa, Kuang Cemetong berkata, mereka telah berjalan selama enam hari dari Kampung Cangkung, Jerantut dan berehat di beberapa kawasan sebelum ini.