
Oleh: Khairul Rizuan Azizan
PETALING JAYA: Cadangan penambahan waktu pembelajaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam usaha menangani masalah kebejatan sosial dalam kalangan pelajar dilihat hanya menambah beban murid dan guru.
Presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Mohd Zainul Arifien Mohd Jaid berkata perkara itu boleh dibendung sekiranya semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat berganding tenaga dalam membentuk sahsiah dan jati diri generasi masa kini tanpa mengharapkan pihak sekolah semata-mata.
“Penambahan waktu pembelajaran di sekolah bukanlah satu-satunya kaedah untuk mengatasi perkara itu. Jika diteliti penyebab utama isu tersebut timbul adalah kegagalan ibu bapa dan masyarakat dalam menjalankan tanggungjawab. Di sekolah, murid-murid telah pun mendapat pendedahan tambahan yang mencukupi melalui subjek Pendidikan Islam dan Moral,” katanya kepada Buletin TV3.
Tambah Mohd Zainul Arifien, di peringkat sekolah kesedaran terhadap murid boleh dilakukan melalui mata pelajaran sedia ada termasuk menerusi aktiviti kokurikulum.
Bagaimanapun, MPSM menyerahkan perkara berkenaan kepada kebijaksanaan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membuat pertimbangan.
“Namun kajian dan perbincangan lanjut perlu dibuat sebelum cadangan tersebut dilaksanakan kerana ia memberi implikasi kepada bebanan sedia ada murid dan juga guru di sekolah,” katanya.
Beliau mengulas syor dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Sosial Bilangan 2 Tahun 2023 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis (27 Julai) berkenaan cadangan penambahan waktu pembelajaran PEERS bagi menimbulkan kesedaran pelajar mengenai kesalahan tingkah laku seksual dan kesannya.
Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) Institut Kesihatan Umum: Tinjauan Kesihatan Remaja (AHS) 2022, sebanyak 33 peratus remaja di negara ini terlibat dalam aktiviti seksual sebelum mencapai umur 14 tahun.
Tinjauan dilakukan pada 12 Jun hingga 8 Julai 2022 melibatkan 154,646 pelajar sekolah menengah berumur 13 hingga 17 tahun.
Selain itu, mengikut statistik Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun lalu, seramai 8,153 remaja berumur 10 hingga 19 tahun mendapatkan rawatan antenatal di klinik kesihatan kerana hamil.
Daripada jumlah itu, 35.7 peratus atau kira-kira 2,910 remaja hamil tanpa nikah.
Justeru, mesyuarat berkenaan bersetuju cadangan penambahan waktu pembelajaran subjek itu akan dibawa kepada Kabinet untuk dibincangkan.