Oleh: Farah Nabilah Wazer
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam (JAIS) mengawasi dan menambah baik sistem sekolah tahfiz di negeri itu.
Baginda juga bertitah sekolah yang tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat perlu dihentikan operasi.
Sultan Sharafuddin juga bertitah, sekolah tahfiz perlu dilengkapi dengan aspek keselamatan yang diiktiraf.
“Beta mahu keadaan fizikal dan fasliliti bangunan dan asrama Sekolah-sekolah Tahfiz ini hendaklah dilengkapi dengan aspek keselamatan yang diiktiraf dan alat-alat pencegah kebakaran juga hendaklah berada di dalam keadaan yang baik dan diluluskan oleh pihak Bomba.
“Sekolah-sekolah Tahfiz yang tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat hendaklah ditutup,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah sempena Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Baginda turut mengingatkan JAIS supaya terus membanteras ajaran sesat yang menyeleweng, selain berusaha mengadakan program untuk mengukuhkan akidah umat Islam dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Selain itu, baginda juga berharap tiada individu atau kumpulan tertentu mempergunakan golongan anak yatim dan asnaf di Selangor untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.