Tumpuan :
Nasional

Tambah Baik Pemeriksaan Pematuhan Keselamatan Pengendali Penerbangan Swasta

Datuk Seri Wee Ka Siong.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pegawai berkaitan diminta untuk menambah baik dan mengekalkan pemeriksaan pematuhan keselamatan dalam kalangan pengendali swasta bagi industri penerbangan tempatan.

Arahan itu dikeluarkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong susulan kejadian nahas membabitkan sebuah helikopter di Tanah Rata, Cameron Highlands tengah hari tadi.

“Mereka (pengendali swasta) perlu lebih berwaspada lebih-lebih lagi faktor cuaca buruk pada ketika ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan berlaku kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW berhampiran Tanah Rata pada jam 1.03 tengah hari tadi.

Helikopter dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd yang dinaiki enam individu termasuk lima pegawai perubatan itu berlepas dari Kampung Gawin ke Tanjung Rambutan, Perak pada jam 12.20 tengah hari.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Wee berkata, beliau memantau keadaan dan situasi yang dikemas kini oleh CAAM dari semasa ke semasa, manakala Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung nahas tersebut.

“Apa yang paling penting, juruterbang bersama lima penumpang berjaya ditemui selamat dan memerlukan rawatan susulan.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan tugas sehabis baik dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua enam mangsa nahas di bawah penyelarasan CAAM dan kini mangsa dibawa ke hospital,” katanya.

Loading...
Terkini