comscore
Tumpuan :
Nasional

Taman Eko Rimba Terengganu ditutup 3 bulan kerana MTL

Jabatan Perhutanan Terengganu sudah mengeluarkan notis penutupan semua Taman Eko Rimba dan kawasan rekreasi di bawah seliaannya. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Taman Eko Rimba di negeri ini ditutup tiga bulan berkuat kuasa Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata penutupan sementara itu bertujuan mengelak insiden tidak diingini sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Katanya, semua laluan pendakian dan aktiviti di dalam hutan simpan di seluruh negeri turut ditutup sehingga akhir Februari depan.

“Antara Taman Eko Rimba yang ditutup adalah di kawasan Air Terjun Menderu, Rimba Bandar Bukit Bauk, Air Terjun Chemerong di Pasir Raja, Dungun.

“Turut ditutup adalah kawasan rekreasi di Lata Belatan Hutan Simpan Gunung Tebu, Lata Tembakah di Besut dan Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal berkata, penutupan turut dilakukan di kawasan rekreasi yang berisiko sepanjang musim tengkujuh.

Katanya, penutupan bagi mengelak insiden disebabkan fenomena kepala air, tanah runtuh dan laluan ke lokasi berkenaan ditenggelami air.

“Jabatan Perhutanan negeri sudah mengeluarkan notis penutupan semua Taman Eko Rimba dan kawasan rekreasi di bawah seliaannya.

“Pengunjung diminta mematuhi arahan pihak berkuasa, termasuk tidak mengunjungi kawasan berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini