comscore
Tumpuan :
Nasional

Talian HEAL 15555 Mula Beroperasi

| Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) hari ini.

CYBERJAYA: Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau Talian HEAL 15555 mula beroperasi hari ini dalam usaha menggalakkan individu yang menghadapi masalah kesihatan mental untuk tampil mendapatkan bantuan awal bagi mencegah permasalahan menjadi lebih serius.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, talian yang beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari termasuk cuti umum itu dikendalikan oleh pegawai psikologi (kaunseling) Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pada 10 Oktober lalu bersempena sambutan Hari Kesihatan Minda Sedunia, saya telah umumkan penambahbaikan ke atas Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) dengan mewujudkan talian 5-digit atau dikenali dengan Talian HEAL 15555 dan akan mula beroperasi pada 21 Oktober 2022. Perkataan HEAL itu bermaksud ‘Help with Empathy and Love’.

“Mana-mana ahli politik musim pilihan raya umum ini boleh buat panggilan di talian HEAL 15555 kalau tidak dapat kerusi, termasuk saya,” selorohnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Syafiq Abdullah yang juga bekas Ketua Setiausaha KKM; Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.

Mengambil kira krisis membabitkan kesihatan mental turut berlaku pada lewat malam, Khairy meminta supaya waktu pengoperasian talian berkenaan dilanjutkan selepas jam 12 tengah malam sekiranya mempunyai sumber manusia mencukupi.

Mengulas lanjut, menurutnya, KKM memperluaskan perkhidmatan kaunseling di peringkat komuniti pada tahun 2020 dengan menempatkan seramai 200 pegawai psikologi (kaunseling) kontrak di peringkat daerah.

“Kalau boleh Datuk Seri KPPA tolong tengok dari segi pegawai psikologi (kaunseling) yang banyak membantu di daerah dan lapangan, kalau boleh tambah lagi saya rasa lebih baik.

“Idea Datuk Seri KPPA sendiri untuk KKM buat ‘outreach’ terutama di pedalaman dan luar bandar dalam pelbagai bahasa, kalau kita pergi pedalaman Sabah, Sarawak atau perkampungan Orang Asli mungkin mereka tiada akses kepada bahasa, kita tidak boleh salahkan mereka, kita kena berlatih dalam pelbagai bahasa, mungkin buat terjemahan di NCEMH dalam pelbagai bahasa supaya lebih mudah mereka mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan mental,” katanya.

Dalam sidang media sejurus majlis itu, Khairy berkata, KKM memerlukan tambahan 400 lagi pegawai psikologi (kaunseling) untuk memperluas perkhidmatan kesihatan mental di lapangan di seluruh negara.

Ketika ini, KKM mempunyai 369 pegawai berkenaan.

Pada masa sama, katanya, KKM menyediakan 1,462 pegawai dalam pasukan MHPSS tahun ini untuk musim tengkujuh bertujuan memberikan kaunseling dan perkhidmatan kesihatan mental kepada mangsa banjir.

“Pegawai ini ditempatkan di pusat pemindahan sementara banjir sebab mangsa bukan hanya kehilangan harta benda tetapi mereka mengalami tekanan mental yang sangat tinggi akibat musibah dialami,” katanya.

Loading...
Terkini