comscore
Tumpuan :
Nasional

Takwim SPM, STPM, kemasukan ke universiti diselaras semula 2026

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR : Takwim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) akan diselaras sepenuhnya seiring pengembalian kalendar persekolahan pada Januari bermula 2026.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pengembalian takwim itu kelak akan turut membantu mengurangkan beban tugas guru.

“Kita nak pastikan selain anjakan atau pengembalian sesi persekolahan ke Januari 2026, pada masa sama isu takwim SPM, STPM dan kemasukan ke universiti akan dibuat penyelarasan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu menjawab soalan asal Mohd Misbahul, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas berhubung penyediaan draf Kalendar Akademik Tahun 2025 dan draf Kalendar Akademik Tahun 2026 sebelum diangkat untuk pewartaan.

“KPM akan memastikan kalendar akademik yang disediakan memenuhi tempoh pengajaran dan pembelajaran secara optimum iaitu antara 32 hingga 36 minggu bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan.

“Penjajaran kepada jadual peperiksaan awam juga akan dilaksanakan supaya selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan,” katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada Mei tahun lalu mengumumkan KPM sudah memutuskan untuk mengembalikan semula sesi baharu persekolahan kepada Januari pada 2026, berbanding bermula Mac yang dilaksanakan sejak 2022 susulan pandemik COVID-19.

Terdahulu menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) berkenaan pelaksanaan kurikulum yang menganggu pengajaran dan pembelajaran (PdP), beliau berkata satu pasukan petugas khas intervensi kurikulum sudah ditubuhkan bagi menangani isu-isu yang dibangkit khususnya oleh warga pendidik.

Katanya, pasukan petugas khas ini berperanan untuk menyediakan Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 Edisi 3.0 yang akan digunakan mulai Sesi Akademik 2024/2025.

Selain itu, katanya bagi membantu guru melaksanakan kurikulum dengan berkesan, kementerian sudah membangunkan banyak bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini