Oleh Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Kalendar sesi persekolahan akan kembali dimulakan pada Januari bermula 2026.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kerajaan sudah memulakan usaha mengawal kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.
“Jadi permintaan untuk memulakan sesi persekolahan pada Januari akan ditunaikan pada 2026,” katanya di Dewan Rakyat, pagi tadi.
Terdahulu, KPM memberi jaminan permulaan takwim sesi persekolahan akan kembali bermula pada Januari, namun memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.
Permulaan takwim persekolahan itu diubah daripada Januari kepada Mac sejak 2022, selepas KPM mengumumkan sesi persekolahan 2021 dilanjutkan hingga Februari tahun berikutnya ketika sesi persekolahan terkesan akibat pandemik COVID-19 melanda seluruh negara.