CHUKAI: Seekor harimau kumbang ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kawasan ladang sawit Putra North, Hulu Kemaman.
Harimau kumbang jantan seberat 30 kilogram itu memasuki perangkap kira-kira jam11.40 malam kelmarin.
Menurut Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong pihaknya menerima laporan berhubung kehadiran haiwan liar itu berkeliaran sehingga mendatangkan kebimbangan kepada pekerja ladang.
“Pihak kami menerima laporan daripada pengurus ladang berkenaan pada ahad dan anggota kami terus melakukan siasatan.
“Pihak kami memasang perangkap di situ pada selasa kira-kira jam 4 petang dan selama hampir lapan jam dipasang, akhirnya haiwan liar itu masuk perangkap,” katanya.
Kean Seong berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati harimau kumbang terbabit berada dalam keadaan sihat.
“Pihak kami membawa keluar harimau kumbang terbabit dari kawasan ladang itu kira-kira jam 11 pagi semalam.
“Harimau kumbang terbabit kemudiannya dilepaskan ke dalam kawasan hutan simpan yang bersesuaian di negeri ini bagi memastikan kemandirian spesies itu,” katanya.
Katanya, pihaknya berharap orang ramai yang menyedari kehadiran haiwan liar di tempat mereka supaya segera melaporkan kepada pihaknya supaya tindakan pantas dapat diambil.