comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Takut jumpa beruang – Penduduk

Foto : NSTP

KUALA BERANG: Sejak seminggu lalu, timbul kebimbangan dalam kalangan penduduk di Kampung Kemat, di sini, ekoran adanya seekor beruang yang sering berkeliaran.

Penduduk, Kamaruddin Ali, 61, berkata, lebih lima kali penduduk terserempak dengan haiwan liar berkenaan merayau-rayau di sekitar kampung.

Menurutnya, kali pertama seorang penduduk yang juga pengusaha sebuah kantin sekolah melihat beruang berkenaan kira-kira jam 4 pagi ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Katanya, dua hari lalu petugas parti yang pulang dari memasang poster dan bendera parti juga terserempak dengan haiwan berkenaan yang berada di bahu jalan.

“Penduduk yang baru pulang dari memasang bendera parti itu tidak berani untuk meneruskan perjalanan pulang dan pemuda itu menunggu sehingga beruang itu berlalu memasuki kawasan semak.

“Sekarang musim pilihan raya, petugas politik biasanya menghabiskan masa pada waktu malam dengan memasang bendera di sekitar kampung dan ianya juga mengundang bahaya.

“Bimbang juga kalau-kalau dijengah haiwan berkenaan ketika petugas sedang asyik memasang bendera pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, ini merupakan kejadian pertama beruang berkeliaran di kawasan kampung, kerana biasanya haiwan berkenaan hanya dilihat di kawasan kebun sahaja sebelum ini.

Katanya, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan susulan.

“Saya selaku penduduk berharap haiwan itu dapat ditangkap dan dipindahkan ke kawasan selamat dan tidak mengancam keselamatan penduduk kampung ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ibrahim Muda, 71, berkata, sejak tinggal di kampung itu lebih 40 tahun lalu tidak pernah lagi kejadian beruang memasuki kawasan kampung.

“Saya bimbang keselamatan kanak-kanak selain penduduk yang pergi dan pulang dari tempat kerja terutama pada waktu malam.

“Sudah lebih lima kali kelibat beruang berkenaan dapat dilihat penduduk terutama pada waktu malam di kawasan bahu jalan sekitar kampung ini,” katanya.

Tambahnya, sekarang musim berkempen dan setiap malam petugas parti akan memasang bendera parti masing-masing dan petugas amat bimbang sekiranya terserempak dengan haiwan itu.

Loading...
Terkini