Tumpuan :
Nasional

‘Takut dan mengigil, bimbang peluru sesat kena kenderaan’ – Pelajar Malaysia

Pelajar Malaysia di Khartoum, Sudan, Akhyar Osman (pakai kopiah) bersama beberapa rakan pelajar bergambar di Pelabuhan Sudan.

PUTRAJAYA: Perasaan takut, tertekan, terketar menggigil kerana bimbangkan keselamatan, bermain dalam fikiran rakyat Malaysia ketika dibawa keluar dalam operasi khas dari kawasan bergolak di Khartoum, Sudan, dengan menaiki bas.

Berkongsi pengalaman itu, pelajar tahun pertama di International University of Africa di Khartoum, Akhyar Osman, 20, berkata dua bas membawa 30 rakyat Malaysia bersama beberapa warga negara lain bergerak meninggalkan kediaman Rumah Malaysia, diiringi beberapa kenderaan keselamatan kira-kira jam 6 pagi (waktu Sudan) 23 April lalu (Ahad).

Akhyar yang berasal dari Baling, Kedah, memaklumkan sukar menggambarkan perasaan yang berdebar-debar ketika itu sebaik kenderaan meninggalkan Rumah Malaysia, dengan bunyi dentuman dan bedilan masih kedengaran.

“Ketika itu, awal pagi Aidilfitri ketiga, bas mula bergerak mengikut laluan yang dikenal pasti pihak kedutaan sebagai selamat untuk dilalui, masih terdengar bedilan peluru dan dentuman. Bukan saya sahaja yang rasa berdebar, takut, terketar-ketar, saya rasa semua dalam bas mengalami perasaan sama, bimbang kalau peluru sesat mengenai kenderaan yang dinaiki kami.

“Kami juga melihat kelibat tentera yang ramai memasuki Khartoum. Dalam debaran dan keresahan itu doa tidak putus dipanjatkan supaya perjalanan kami dipermudahkan dan jaminan diberikan kedutaan bahawa laluan dipilih adalah selamat memberi sedikit kelegaan.

“Kami juga sudah dimaklumkan pihak kedutaan supaya bersedia mental dan fizikal untuk menempuh perjalanan yang panjang hampir 1,200 kilometer dan berpuluh jam ke Pelabuhan Sudan,” katanya kepada BH sebelum menaiki penerbangan pulang ke tanah air.

Akhyar dan rakyat Malaysia yang lain dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 4 petang ini.

Bercerita lebih lanjut, Akhyar berkata, perjalanan mereka perjalanan agak lancar namun masih perlu berhati-hati, malah sepanjang perjalanan, mereka juga melalui beberapa pusat pemeriksaan (‘checkpoint’) tentera.

“Mereka periksa dokumen serta pasport kami semua yang berada dalam kenderaan.

“Kebanyakan masa kami hanya tidur di dalam bas, cuma menghampiri separuh perjalanan kami sempat bermalam di satu kawasan hentian bas yang kecil. Kami cuma hamparkan tikar di luar dan tidur seketika sebelum kembali meneruskan perjalanan.

“Konvoi akhirnya sampai ke Pelabuhan Sudan pada Selasa dan kami berada di sana selama dua hari bagi menunggu urusan membawa kami ke Jeddah diselesaikan. Keadaan di Pelabuhan Sudan aman dan terkawal, tidak seperti di Khartoum yang dilaksana perintah berkurung,” katanya.

Pelajar itu berkata, beliau dan semua rakyat Malaysia berasa sangat lega sebaik sampai di Jeddah dan sukar untuk menggambarkan perasaan itu dengan kata-kata.

“Rasa lega sampai di Pelabuhan Sudan, bila sampai di Jeddah bertambah lega.. tapi kalau sampai ke Malaysia nanti, lagilah bertambah-tambah lega,” katanya.

Akhyar yang baharu setahun berada di Sudan memaklumkan, ketika pergolakan tercetus, beliau bersama empat lagi rakan berlindung di rumah sewa di Makmurah, Khartoum.

“Kawasan kami agak selamat, berbanding pelajar Indonesia yang tinggal di Jamiah, kira-kira 30 minit perjalanan dari kediaman kami. Ia antara lokasi pertempuran konflik. Ada yang maklumkan kawasan kediaman mereka turut menjadi bedilan peluru sesat.

“Pada hari raya pertama (21 April), pihak kedutaan minta kami bersiap dan hendak ambil kami lima orang bawa ke Rumah Malaysia tapi tak jadi sebab keadaan tidak selamat untuk bergerak. Hari itu juga tentera maklum nak buat operasi habis-habisan.

“Namun, menjelang malam, pihak tentera umum gencatan senjata 72 jam dan pada pagi raya kedua (22 April) kami berlima naik kereta pergi ke Rumah Malaysia sebab ketika itu gencatan senjata,” katanya.

Akhyar berterima kasih kepada kerajaan, Kedutaan Malaysia di Sudan dan negara lain atas usaha dan kesungguhan untuk membawa keluar rakyat Malaysian dari kawasan bergolak itu.

“Ini bukan satu tugas mudah, sebaliknya menuntut perancangan yang teliti. Syabas kepada kerajaan kerana sentiasa mengutamakan nyawa dan keselamatan warga Malaysia,” katanya.

Ditanya perancangannya selepas ini, Akhyar berkata, beliau akan berbincang bersama keluarga terlebih dahulu, selain memantau situasi di Sudan.

Beliau berhasrat kembali ke negara itu untuk menyambung pengajian, namun akan mempertimbangkan semula perancangannya jika konflik masih berterusan.

Konflik di Sudan membabitkan Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF).

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, memaklumkan semua 30 rakyat Malaysia yang diselamatkan dalam Misi Menyelamat Operasi Sudan (Ops Sudan) akibat pertempuran tentera tempatan di negara berkenaan, akan tiba di tanah air pada jam 4 petang ini.

Mereka diterbangkan dari Jeddah, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan komersial Saudi Air.

Terdahulu, Zambry berkata, semua 30 rakyat Malaysia terbabit selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal di Jeddah, selepas menempuh perjalanan hampir sembilan jam dari Pelabuhan Sudan.

Beliau berkata, mereka tiba pada jam 1.54 pagi (27 April) waktu Malaysia, bersama 22 rakyat negara lain.

Sebelum itu, mereka terlebih dahulu menempuh perjalanan darat yang sukar, sejauh 1,233 kilometer selama 30 jam, dari Khartoum untuk tiba di Pelabuhan Sudan.

Sementara itu, Kementerian Luar Arab Saudi menyebut, seramai 194 rakyat pelbagai negara, termasuk dari Malaysia tiba ke Jeddah dengan selamat dari Pelabuhan Sudan menggunakan kapal tentera laut Arab Saudi.

Loading...
Terkini