comscore
Tumpuan :
Nasional

Takungan Empangan Beris dilepas stabilkan paras air sungai Muda – Sanusi

ALOR SETAR: Pelepasan air dari Empangan Beris di Sik akan dilakukan secara berkala bagi menstabilkan semula paras air di Sungai Muda yang menjadi sumber bekalan air bagi Kedah dan Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pelepasan air dari empangan itu dilakukan empat hari lalu membabitkan 10 juta meter padu air ke Sungai Muda.

Beliau berkata, langkah itu susulan permintaan Pulau Pinang yang menghadapi penyusutan paras air di Sungai Muda di muka sauk Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Lahar Tiang dekat Bukit Mertajam.

Muhammad Sanusi berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO kerajaan negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya dimaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan melaksanakan operasi pembenihan awan dalam masa terdekat bagi menstabilkan paras air di Sungai Muda.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmamathan dilaporkan berkata aras Sungai Muda di muka sauk PBAPP di Lahar Tiang turun di bawah paras selamat.

Menurut Pathmamathan, Kedah mempunyai pilihan untuk melepaskan lebih banyak air dari Empangan Beris bagi meningkatkan paras Sungai Muda dan langkah itu akan mengelakkan sebarang isu besar di 14 loji rawatan air (LRA) di Kedah dan LRA Sungai Dua di Pulau Pinang. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini