Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Taktik tukar kata kunci, elak jual alat mainan seks disekat

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri, Nik Yusaimi Yussof pada sidang media pelupusan ekshibit alat mainan seks di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di Jalan Tok Ungku, Rasah. FOTO: NTSP

SEREMBAN: Penjual alat mainan seks dalam talian atau menerusi platform e-dagang dikesan kerap menukar kata kunci pada produk mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Bahagian Penguatkuasaan (PK) dan Kawalan menjalinkan kerjasama rapat dengan operator platform e-dagang bagi menghalang alat mainan dewasa itu dihalang daripada dijual.

Bagaimanapun, penjual alat tidak bermoral itu lebih licik apabila didapati menggunakan pelbagai helah dan cara supaya produk mereka tidak disekat daripada terus diiklankan.

Setiausaha Bahagian PK KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, penjualan alat mainan seks adalah salah di sisi undang-undang mengikutAkta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“KDN dapat kerjasama baik daripada operator platform e-dagang dengan menapis iklan jualan di platform mereka dengan menyekat iklan alat mainan seks menerusi penapisan kata kunci carian.

“Penjual ini sentiasa guna kaedah tukar kata kunci untuk mengelirukan pihak operator. Jika dahulu lebih banyak produk yang dijual dengan menggunakan kata kunci biasa, namun kini sudah berkurangan dan pembeli pembeli perlu guna kata kunci carian lain,” katanya pada sidang media pelupusan rampasan alat mainan seks, di sini, hari ini.

Jelas beliau, KDN mengambil tindakan penguatkuasaan di seluruh negara dalam membanteras aktiviti penerbitan tidak diingini kerana memudaratkan moral dan berlawanan dengan sosiobudaya masyarakat.

“PK KDN menjalankan menyita pelbagai barang berbentuk alat mainan seks yang diperintahkan mahkamah untuk dilucuthak dan dilupuskan mengikut Seksyen 19(1) Akta 301.

“Semua rampasan ini dibuat di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sepanjang 2024. Kaedah pelupusan mengikut Garis Panduan Pengurusan Pelupusan Barang Kes/Tahan/Eksibit oleh PK KDN,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelupusan alat mainan seks pada kali ini dianggarkan seberat 5,800 kilogram (kg) membabitkan 27,035 alat dengan anggaran nilai RM1.3 juta.

Tambahnya, hebahan pelupusan ini adalah penting bagi memaklumkan kepada masyarakat mengenai kesalahan membabitkan alat mainan seks, ketelusan dan ketegasan penguatkuasaan dijalan PK KDN.

Jelas beliau lagi, kebanyakan alat berkenaan diimport atau dibawa masuk dari negara lain seperti China serta Thailand dan dipercayai diikrarkan sebagai dagangan lain.

Justeru katanya, KDN menyeru supaya orang ramai memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan hasil penerbitan tidak diingini dengan menghubungi talian 03-8000 8000/ 8889 3145, emel [email protected] atau laman web www.moha.gov.my.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini