comscore
Tumpuan :
Nasional

Taktik lelaki jual minyak masak subsidi lebih mahal dalam talian dibongkar – KPDN

FOTO: KPDN

KOTA BHARU: Taktik lelaki mengiklankan jualan minyak masak bersubsidi secara dalam talian yang lebih mahal daripada harga pasaran terbongkar, selepas ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, modus operandi lelaki berusia 50-an yang juga memiliki kedai runcit itu menjalankan urus niaga menerusi aplikasi WhatsApp, bayar deposit dan diberi lokasi serta tarikh dan masa sebelum menyerahkan bahan makanan itu.

Beliau berkata, lelaki itu beroperasi di rumahnya di Jalan Bayam, di sini dan pihaknya membuat serbuan tengah hari Ahad lalu, hasil aduan orang awam.

“Ketika serbuan dibuat, lelaki berkenaan baru selesai memunggah 10 kotak mengandungi 170 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi ke dalam kenderaan pembeli.

“Berdasarkan aduan, satu akaun media sosial mengiklan jualan minyak masak bersubsidi dalam talian dan akan melakukan transaksi pembelian termasuk pembayaran deposit sebelum menentukan lokasi pengambilan minyak masak bersubsidi terbabit.

“Ketika serbuan, lelaki itu mengaku menjual dan menetapkan harga RM5 bagi sekilogram minyak masak yang jelas melanggar harga kawalan iaitu RM2.50 sekilogram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, lelaki itu dibawa ke sebuah premis kedai runcit miliknya di lokasi berasingan untuk pemeriksaan lanjut berkaitan perlesenan.

Beliau berkata, lelaki itu mempunyai lesen perniagaan runcit barang kawalan yang masih sah sehingga 26 Februari 2026 namun lokasi penjualan tidak berkaitan dengan alamat yang didaftarkan.

“Kita dapati tiga kesalahan dilakukan suspek iaitu iaitu menjalankan perniagaan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan, menjual melebihi harga kawalan yang ditetapkan serta tidak menyelenggara buku stok barang kawalan.

“Pasukan kami menyita 170kg minyak masak bersubsidi dan menahan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini