Oleh: Selwam Arjunan
BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dengan merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 110 kilogram dalam serbuan di sini, 4 Disember lalu.
Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abd. Latiff berkata pihaknya juga menahan seorang suspek yang merempuh kenderaan pihak berkuasa dalam cubaan melarikan diri dalam operasi itu.
Katanya, serbuan dilakukan atas maklumat risikan oleh Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam bersama pasukan elit Customs Operational Battle Force Response Assault (COBRA) kira-kira jam 8.30 pagi.
Mereka telah mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) putih yang mencurigakan bergerak laju dari Taman Bandar Sejahtera menghala ke Jalan Kampung Tok Kun, Pokok Sena.
“Menyedari kenderaan mereka dikesan, suspek cuba meloloskan diri dengan melanggar kenderaan pihak berkuasa dan terbabas.
“Kemudiannya dia telah bertindak terjun dari kenderaan yang masih bergerak dan cuba melarikan diri ke dalam kebun getah berhampiran, namun diberkas pasukan penguatkuasa.
“Pemeriksaan rapi telah diadakan ke atas MPV tersebut dan pasukan telah menjumpai empat guni besar pelbagai warna tersorok di bahagian belakang kenderaan dan beberapa bungkusan berlabel teh cina yang di dalamnya dipercayai mengandungi dadah jenis Methamphetamine.
“Anggaran berat Methamphetamine yang ditahan adalah 110 kilogram dengan nilai rampasan adalah berjumlah RM3.52 juta,” katanya dalam sidang media, di sini, pagi tadi.
Suspek ditahan reman untuk membantu siasatan, manakala kenderaan dan barang rampasan dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam untuk siasatan lanjut.
Katanya, ia merupakan kali pertama kenderaan mewah digunakan sindiket dadah untuk penyeludupan di kawasan sempadan.
“Kereta mewah jenis Toyota Vellfire digunakan untuk mengangkut dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Sebelum ini hanya kenderaan biasa digunakan sindiket ini, namun kali ini kenderaan mewah disewa khusus sebagai taktik melepaskan diri.
“Dadah dirampas dipercayai dibawa utara tanah air ke Lembah Klang dan dipercayai untuk pasaran gelap sekitar Lembah Klang,” tambahnya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.