Tumpuan :
Nasional

Taktik botol semula minyak masak paket subsidi tumpas

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Membeli minyak masak paket 1 kilogram (kg) dan dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga terkini pasaran minyak masak bukan bersubsidi.

Taktik licik penyelewengan barang kawalan bersubsidi itu ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam serbuan di sebuah premis tanpa nama di Taman Pandamaran Permai, Port Klang, Selangor, semalam.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDN Putrajaya dan Selangor bermula kira-kira jam 2.30 petang, hasil risikan beberapa hari.

“Hasil pemeriksaan ke atas lokasi serbuan mendapati premis tersebut berkunci dan tidak berpenghuni. Pasukan serbuan telah bertindak memecah masuk premis tersebut untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut menemukan lapan tong jenis kontena pukal sederhana (IBC) mengandungi minyak masak dan 250 kotak minyak masak paket 1kg bersubsidi jenama Cap SR Hijauan dan Cap Kebarung selain beberapa plastik minyak masak paket 1kg yang telah dipotong bungkusannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kesemua minyak masak sebanyak 11,050kg serta beberapa peralatan seperti pam penyedut minyak, hos getah, pelantar besi, gunting dan beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM43,545.

“Pihak KPDN percaya modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi dan disimpan di stor berkenaan.

“Minyak masak paket 1kg berkenaan seterusnya akan dipotong dan dipindahkan ke dalam tangki IBC serta dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga terkini pasaran minyak masak bukan bersubsidi,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Datuk Armizan, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut dibuat di bawah Subseksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Loading...
Terkini